Friday, February 4, 2011

Revolusi Mesir, Kisah Hosni Mubarak




sambungan daripada entry sebelumnya..
Mesir
Ekoran Revolusi Jasmine yang terjadi di Tunisia. Rakyat Mesir yang dahulunya tidak berani bersuara sudah mula bertindak. 25 Januari 2011 merupakan satu tarikh keramat, tarikh yang menghimpunkan rakyat Mesir demi satu pemerintahan yang adil dan saksama.. Revolusi Mesir menjadi igauan pemimpin Arab yang lain kerana Mesir merupakan negara Arab yang terbesar. Dengan kapasiti penduduk yang mencecah hampir 79 juta. Maka tidak hairanlah ekonomi Mesir merupakan kedua terbesar di tanah Arab selepas Arab Saudi. Selain itu, Mesir merupakan pemimpin utama dunia Arab. Ini dapat ditunjukkan dengan 5 daripada 6 setiausaha agung Liga Arab merupakan rakyat Mesir.


Berikutan pembunuhan Presiden Anwar Sadat pada tahun 1981, Hosni Mubarak menjadi Presiden yang paling lama memerintah di Mesir. Dalam tempoh 30 tahun pemerintahan, pelbagai perkara yang dilakukan oleh Hosni mengundang kebencian rakyat dan umat Islam seluruhnya. Antaranya ialah, Hosni adalah satu-satunya pemimpin Arab yang terus mengekalkan perjanjian damai dengan Israel. Selain mempunyai hubungan rapat dengan Amerika Syarikat, Hosni dilihat sebagai seorang pemimpin yang tidak adil. Sikapnya yang selalu menahan dan memenjara pengkritik, menghapuskan Parti Pembangkang dan mengatur pilihanraya merupakan antara faktor utama mengapa rakyat begitu membencinya. Kezalimannya terbukti dengan kemenangan besarnya yang mencapai 99% dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali pilihan raya diadakan. Dalam pada masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding dalam pilihan raya.Jika benar Hosni yang memenangi pilihan raya, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah lebih sejuta pada hari ini?

Bagi Palestin khususnya, Hosni ibarat boneka Israel. Mesir yang selalu menjadi intermediary dalam perjanjian antara Palestin-Israel tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada Palestin. Selama 30 tahun jugalah Israel membina kehidupan yang aman walaupun negaranya dikelilingi negara-negara Arab. Malahan semakin hari wilayahnya semakin besar ekoran pencerobohan yang dilakukan keatas tanah Palestin. Oleh itu, demonstrasi yang berlaku sekarang merupakan sesuatu yang amat ditakuti Israel.

Selama beberapa hari demonstrasi ini berlangsung, Hosni cuba berunding namun hasratnya langsung tidak diambil peduli oleh rakyat. Antara yang dijanjikan ialah tidak bertanding pada pilihanraya akan datang yang diadakan pada bulan September. Selain itu, Hosni mengumumkan Naib Presiden dan Perdana Menteri yang baru. Ianya langsung tidak mendatangkan kesan kepada para penunjuk perasaan. Malahan api kemarahan semakin meluap-luap di kalangan penunjuk perasaan. Apa yang mereka mahu ialah Hosni Mubarak digulingkan secepat mungkin. Sementara itu, para penyokong Hosni kebanyakannya terdiri daripada polis yang berpakaian preman yang diupah sudah mula bertindak dengan menyerang para penentang Hosni yang sedang berdemonstrasi. Keadaan bakal menjadi panas semula namun aku percaya penentangan terhadap Hosni tidak akan berhenti di sini.. Kebangkitan Islam pasti akan berlaku semula.


Walaupun Hosni sendiri telah terselamat dalam enam kali cubaan bunuh. Bukan bermakna dia akan terus kekal memerintah. Kerana bukan peluru yang menyebabkan dia berhenti, tetapi rakyatnya sendiri yang akan menghentikannya. Moga Revolusi Mesir ini berhasil buat pertama kalinya. Amin.


Notakaki: Revolusi di tanah Arab kali ini umpama domino, selepas Tunisia & Mesir, kemungkinan akan diikuti oleh Yaman,Algeria & Jordan. Setakat ni lebih 20000 dah demonstrasi di Yaman. Kita tunggu dan lihat. Bila keadaan dah panas sikit aku continue.

No comments:

 
Copyright © It's not a 9gag. Blogger Theme by BloggerThemes & newwpthemes Sponsored by Internet Entrepreneur